Friday 12 August 2011

Untukmu Sahabatku



Sahabatku..
Jika hari ini aku terlalu gembira,
Sedarkanlah aku dengan amaran Allah S.W.T
Jika aku bersedih tanpa kata,
Pujuklah aku dengan tarbiah pencipta..
Jika aku lemah tidak berdaya,
Ingatkan aku dengan kehebatan pencipta..
Jika antara kita ada tembok yang memisah,
Ajaklah aku meleraikannya segera..
Jika pernah hatimu terluka,
Luahkan agar aku berubah..
Dan jika esok aku terlena tanpa terjaga,
Iringi lenaku dengan kalungan doa..
Berjanjilah sahabatku,
Ukhwah kita untuk selamanya..

Buat mawar-mawar mujahidah yang sedang merindui jalan menuju Allah..



اللهم صلى وسلم وبارك على محمد وعلى أله وصحبه إلى يوم الدين

Ketahuilah wahai mawar mujahidah,
Rasulullah s.a.w. dan generasi itu telah tiada! Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Kehadiran insan ajaib itulah telah memuliakan kita pada saat ini.
Muhammad, kekasih Ilahi. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula dari seorang diri, menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya Baginda tidak berani dan takut mati, namun itulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi.
Ucapan Baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu yang suci. Ucapan yang hikmah dari kalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulainya mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh hati sanubari. Juga dengan jalan hujah dan keterangan, dengan hikmah dan pengajaran penuh seni.
Bilamana ada perdebatan dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Bilamana mendapat tekanan, rintangan serta siksaan, berlaku sabar dan  melontarkan doa kasih nan sejati. Firman Allah:
أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن
Tahukah dikau mawarku?
Dengan rahmat dan kurnia Ilahi, seorang demi seorang ikut menyertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu, terbentuklah masyarakat dan jemaah Islam pertama, jamaah Rasulullah dan para sahabi. Jemaah baru itu masih sangat kecil dan merupakan ghuroba’ (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran Baginda sendiri.

Golongan ghuroba’ inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik ummat ini. Mereka tak punya apa-apa, melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji Allah itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah dan kebaikan terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi.
Mengertilah duhai mawar mujahidah,
Jalan dakwah dan kebaikan inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga Islamlah seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dan kehinaan dari akar umbi.
Sabda Rasulullah s.a.w:
ألا إن الإسلام دائرة فدورا مع الإسلام حيت دار.الا إن السلطان والقرأن سيفترقان فلا تفارقوا الكتاب
‘Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari al-Quran.’
Duhai si mawar mujahidah calon bidadari Jannah…
Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. Kalau kita tidak memilih jalan menuju Allah, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri; iaitulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi. Jalan keimanan itulah jalan ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblisi. Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan iblisi, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai hati.
 
Masing-masing berusaha dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya, masing-masing kerdil menghadap Ilahi. Sudah tentu di sana , ada perbezaan antara keduanya di alam abadi. Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi.

Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai  persiapan yang serius untuk mengadap-Nya? Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membeli redha Allah? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu!
Dan kini hai mawar,
Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya  menjadi ghuroba’. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas dengan-Nya. Oh, adakah kau masih teguh dengan prinsip muslimahmu aduhai si mawar berduri?
Kuingatkan diriku jua kerana aku juga dari kaummu wahai mawar,
Adakah amalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk dalam golongan ghuroba’ ini? Mungkinkah kelalaian kita yang berterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? Nauzubillah! 
Ya Allah, bantulah kami untuk tetap layak berada dalam kebenaran, di atas jalan-Mu. Jangan sesekali Kau menapis kami dari rahmat dan jalan-Mu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri. Amin…

Hati Yang Gersang



ya Allah...

janganlah Engkau biarkan hatiku gersang tanpa dibasahi oleh kelembapan IMAN....

janganlah Engkau biarkan hatiku tandus dengan merindui wangian firdaus....

janganlah Engkau biarkan hatiku kesunyian tanpa merasai kewujudanMU....

janganlah Engkau biarkan hatiku dibuka dengan ruang-ruang yang mendheret ku ingkar padaMU....

janganlah Engkau hiburkan hatiku dengan suka tanpa menggeruni nerakaMU.....

janganlah Engkau mengilhamkan hatiku kepada sesuatu yang menggelapkan nur hidayahMU....

janganlah Engkau biarkan hati ini terus goyah tanpa berpaut teguh dengan keyakinan padaMU.......

janganlah Engkau biarkan hatiku membeku, sedangkan ia belum lembut untuk dihiasi dengan tarbiyyah.....

janganlah Engkau membuat hatiku alpa tanpa ditemani kesedaran muhasabah padaMU.....

janganlah Engkau biarkan hatiku dahagakan redhaMU tanpa mengharapkan taubat kepadaMU....

Puteriku Sayang



Lembutmu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan
Bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajahmu
Disebalik tabir dirimu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malumu mahkota yang tak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri atau nama
Tiada siapa yang boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri..

“DON’T YOU EVER TOUCH ME!”

Kau perlu bersikap tegas dengan pemuda yang cuba melihat dan menyentuhmu. Itu pemuda yang tidak baik. Seandainya dia berani buat begitu kepada mu bererti dia juga telah biasa berbuat sedemikian kepada orang lain. Mahukah engkau menjadi mangsanya yang entah ke berapa itu?

Alangkah bertuahnya gadis yang pandai menjaga dirinya. Gadis terhormat begini sukar dicari pada zaman ini..fikirkanlah!! jadilah permata berlian yang berkedipan diantara kaca yang kusam.

Tepislah semua kata-kata pemuda yang cuba mendekati mu dengan keindahan akhlak islam mu. Buktikanlah kepada mereka kau tidak selemah yang mereka sangkakan. Dan ajaklah mereka bersama-samamu mencari kebenaran dan keredhaan Allah S.W.T

Sayangku, para pemuda kawan iblis itu tidak akan pernah terfikir akan nasibmu. Mereka tidak peduli kepada nasibmu yang hilang kehormatan atau harga diri kerana mereka. Mereka tidak akan menyesal apa yang telah mereka lakukan kepadamu. Mereka hanya datang kepadamu bila kau bisa dinikmati.. tapi bila kau sudah rosak, layu atau sakit, mereka akan meninggalkanmu sendirian seperti perginya kerumun anjing apabila kehabisan bangkai..
MasyaAllah
Sedihnya hati, pilunya jiwa..

Jagalah auratmu sayang.. jangan benarkan pemuda nakal melihat keistimewaan dirimu walau sedikitpun..

Jangan mudah terpedaya dengan pujiaan atau pujukan pemuda yang hanya ingin merosakkanmu, kerana kau yang akan menerima akibat apabila tersasar. Kau yang akan jadi korban seandainya terjerat oleh hasutan iblis durjana..

Sayang ..tegakkanlah akhlakmu, junjunglah budi pekerti yang mulia, banteraslah segala apa yang boleh merosakkan jiwamu dan kendalikanlah nafsu syahwatmu untuk melawan dan membanteras kerosakan moral

Wahai sayang yang ku sayang.. pintu kearah kebaikkan ada dihadapanmu. Kunci itu ada ditanganmu. Gunakanlah kunci itu, pasti kau akan temui apa yang kau cari.

Bantulah dirimu sayang, sebelum ianya berlaku.. sayangi dirimu sepenuh hati dan ingatlah Allah Maha Melihat setiap gerak-gerimu setiap detik waktu..

Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika melihat seorang gadis; berdirinya gadis itu dihadapannya tanpa sehelai benang pun..
Astaghfirullah..
Demi Allah sayang, jangan kau mudah percaya kepada percakapan sebahagiaan lelaki, kata meeka, mereka memandangmu kerana akhlak dan adabmu yang baik. Mereka berkata yang mereka menganggapmu sebagai sahabat dan mencintaimu seikhlas hati. Bohong!!

Kalaulah kau bersikap tegas apabila dia ingin menyentuhmu, kau lari atau memukulnya dan minta tolong, pasti orang disekitar akan membantumu.
Kalaulah ketika itu kau nyatakan kepadanya “adakah kau takut kepada Allah, wahai lelaki?”. Demi Allah, mereka membohongimu sayang. Jangan mudah percaya, sekiranya mereka begitu mudah memujimu,tidak mustahil mereka telah memuji gadis-gadis lain sebelum ini..

Puteriku sayang, tidak ada seorang lelaki pun yang melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberi bantuan dan layanan kepadamu, kecuali mempunyai maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya itu adalah langkah awal untuk memerangkapmu..

Ketika dia merayumu, kau tolaklah dengan sikap yang tegas, kau alihkan pandanganmu dan pandangannya, kau tidak memakai pakaian yang menjolok mata sehingga hatinya goyah terhadapmu..

Pasti selepas itu mereka tidak berani lagi mengganggu wanita terhormat sepertimu

Percayalah puteriku, jika benar lelaki itu sayang kan mu, dia tidak akan merosakkanmu malah akan menunjukkan kau ke jalan yang benar..

Wahai puteriku, kau diciptakan Allah dengan kecantikkan, kemanisan dan segala macam keistimewaan kerana kau masih muda..

Renungkanlah sayang..

7 golongan dibawah naungan Allah

  1. Pemimpin yang adil
  2. Pemuda yang giat beribadah kepada rabbnya
  3. Seorang yang hatinya selalu lekat dengan masjid
  4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah
  5. Seorang pemuda yang dirayu oleh wanita yang punya kedudukan dan kecantikkan, namun ia berkata:”inni akhafallah”(aku takut kepada Allah)
  6. Seorang yang infak dengan sembunyi; iaitu sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang tangan kanannya infakkan
  7. Dan seorang yang mengingati Allah dalam sendirian sampai menangis..

Tips menepis cinta remaja

  1. Tegas dengan prinsip diri
  2. Meletakkan misi yang jelas dalam hidup
  3. Bersahabat dengan rakan-rakan sejantina yang soleh
  4. Mengekang hawa nafsu
  5. Mendekati majlis ilmu
  6. Menyibukkan diri dengan hobi dan minat berfaedah
  7. Akrab dengan Allah dalam ibadah dan kehidupan
Rasulullah S.A.W berpesan maksudnya: “Jika datang kepadamu sesiapa yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya maka nikahilah dia, jika tidak dilakukan akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakkan berleluasa”
(Riwayat al-Baihaqi)

Wednesday 3 August 2011

Ramadhan Dan Kehidupan Seorang Manusia





    Sangatlah rugi orang yang melayani Ramadhan hanya seperti bulan-bulan biasa. Merasakan bahawa Ramadhan ini bezanya hanya perlu berlapar dahaga di siang harinya sahaja.
    Ada pula yang menganggap Ramadhan ini luar biasa. Tetapi luar biasanya sekadar kerana ‘selepas Ramadhan ada Hari Raya’.
    Ini adalah orang-orang yang rugi.
    Sedang Ramadhan hakikatnya merupakan satu motivasi tertinggi daripada Ilahi.
    Buat manusia yang bernama Insani.

    Kehidupan manusia yang sukar, dan Ramadhan pemberi kekuatan
    Kehidupan manusia berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Kehidupan manusia penuh cabaran dan onak duri. Bukti mudah boleh kita lihat, bagaimana ramai sahaja manusia yang tidak tertahan dengan dugaan ini akhirnya menamatkan riwayat membunuh diri.
    Ada pula yang mungkin tidak membunuh diri, tetapi akhirnya mengalami sakit mental, tekanan jiwa dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.
    Tetapi hadirnya Ramadhan untuk orang-orang yang beriman, sebagai medan memperkuatkan diri. Lihatlah bagaimana cantiknya Allah SWT apabila menyatakan ijazah Ramadhan adalah Taqwa.
    “Wahai orang-orang yang beriman, disyariatkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah disyariatkan ke atas kaum yang terdahulu sebelum kamu, moga-moga kamu mendapat taqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.
    Mengapa ijazah Ramadhan adalah taqwa? Kerana Taqwa adalah kekuatan untuk mengharungi kehidupan. Kerana Taqwa adalah penjaga kepada tingkah laku manusia. Lihatlah bagaimana Allah SWT mengiktiraf taqwa sebagai sebaik-baik bekalan, pencegah dari melakukan sesuatu yang Allah larang:
    “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” Surah Al-Baqarah ayat 197.
    Lihatlah bagaimana Allah melarang itu dan ini semasa Haji, dan kemudiannya Allah berpesan bahawa Taqwa adalah sebaik-baik bekal. Mengapa? Kerana Taqwalah yang memberikan kekuatan untuk kita menjauhi kemaksiatan, perkara-perkara buruk di sisi Allah SWT, juga di dalam kehidupan kita.
    Maka, Taqwa hakikatnya adalah bekalan hidup. Ramadhan ijazahnya Taqwa. Jadilah Ramadhan sebagai pemberi kekuatan kepada kehidupan insan, bagi yang memerhatikan.

    Diri yang banyak dosa dan kesilapan, Ramadhan tempat pembersihan.
    Setiap manusia melakukan kesilapan. Salah satu pakej dalam menjadi manusia adalah kita akan melakukan kesilapan, kita pasti ada melakukan kesilapan.
    Tetapi Allah SWT tidak akan membiarkan manusia dengan pakej melakukan kesilapannya begitu sahaja. Sebab itu dalam menjadi hamba kepada Allah SWT, ada juga pakej keampunan.
    Dan antara pakej keampunan terbesar dalam setahun adalah Ramadhan.
    Lihatlah semula barisan hadith-hadith ini:
    1.  “Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.”
    2. “Barangsiapa yang membangunkan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.”
    3. Barangsiapa yang membangunkan Malam Al-Qadr, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.”

    Maka nyatakan selepas membaca hadith-hadith ini, di ruangan mana, di saat mana di dalam Ramadhan, yang bukan waktu membersihkan diri?
    Tidak. Seluruh Ramadhan itu adalah waktu yang Allah janjikan untuk keampunan.
    Memang pintu keampunan Allah itu tidak pernah tertutup. Tetapi kita sendiri tidak mengetahui bilakah saatnya Allah benar-benar hendak menerima taubat kita. Namun, di dalam Ramadhan, jelas Allah mengisyaratkan janjiNya: “Buat begini, Aku ampunkan.”
    Puasa dalam bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), Allah ampunkan segala dosa yang lalu.
    Membangunkan(menghidupkan dengan amalan-amalan soleh) Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira, Allah ampunkan segala dosa yang lalu.
    Membangunkan(menghidupkan) Malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira, Allah ampunkan segala dosa yang lalu.
    Jelas Allah nyatakan apa yang perlu kita buat, masanya, dan apa yang Dia nak berikan.
    Adakah wujud perkara ini di bulan lain?
    Jadi bagaimana Ramadhan tidak mampu menjadi motivasi kehidupan kita sebagai manusia?
    Keluar dari Ramadhan dalam keadaan bersih, terampun, nyatanya kita akan lebih bersemangat untuk mengharungi 11 bulan yang akan datang, menjadi manusia yang lebih baik bukan? Atau setelah diampunkan, kita hanya berfikir untuk membuat dosa lagi?

    Penutup: Ramadhan bukan bulan kebiasaan. Ramadhan adalah tempat rehat sebelum meneruskan perjalanan.
    Kehidupan adalah satu permusafiran. Dan Ramadhan yang datang setiap tahun adalah tempat berehat, ibarat R&R di tengah highway.
    Di dalam Ramadhanlah kita mengumpul bekalan, merehatkan diri mengumpul kekuatan, untuk meneruskan perjalanan kita dengan baik.
    Ramadhan nyata memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang manusia, yang hendak mencari keredhaan Allah SWT, yang inginkan rahmat dan maghfirah Allah SWT, yang ingin hidup berjuang untukNya.
    Ramadhan adalah tempat memperkuatkan diri, dan membersihkan diri, agar menjadi yang lebih baik untuk meneruskan perjalanan yang seterusnya.
    Justeru bagaimana kita melayani Ramadhan?
    Bagaimana kita mengisi Ramadhan?
    Sepatutnya perkara ini menyemarakkan kita lagi untuk bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan. Sepatutnya perkara ini menyemarakkan kita lagi untuk hidup sebagai hamba Allah SWT.
    Betapa baiknya Allah SWT menganugerahkan kita Ramadhan dalam setahun kehidupan kita. Bagaimana kalau Ramadhan tiada?
    Sama-sama kita muhasabah kembali.
    Ramadhan nyata signifikan dalam perjalanan hidup manusia.
    Justeru, bagaimanakah kita melayaninya?
    © Langitilahi.com